Seorang kanak-kanak berjalan melintasi deretan kereta yang dipenuhi lumpur berikutan hujan lebat yang mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Hulu Langat ditenggelami air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menggalakkan majikan swasta untuk memberikan cuti kecemasan esok kepada pekerja terkesan banjir.

Katanya, para majikan di sektor swasta patut menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya pekerja terjejas banjir diberikan cuti berbayar tanpa menolak cuti tahunan dan gaji mereka.

“Dalam menghadapi situasi bencana seperti banjir, saya berharap para majikan dalam sektor swasta dapat memberikan kerjasama dan pertimbangan yang sewajarnya kepada pekerja-pekerja yang terjejas banjir ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri semasa sidang media yang disiarkan melalui sosial medianya mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat bencana banjir.

Bagi kakitangan swasta pula, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau paid leave dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka.

Beliau turut mengumumkan, bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 untuk setiap ketua isi rumah yang terkesan akibat banjir.

Bayaran bantuan itu ujarnya, akan disegerakan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana ini.- MalaysiaGazette