Banjir melaka
Operasi menyelamat mangsa banjir di Lubok Cina Melaka.

MELAKA – Hujan berterusan sejak pagi tadi menyebabkan angka mangsa bencana banjir di Melaka terus meningkat kepada 563 orang di 28 kawasan terjejas yang turut menyaksikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula dibuka di daerah Melaka Tengah berbanding hanya di Alor Gajah sejak semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat jam 8 pagi tadi, dua PPS di Melaka Tengah yang diaktifkan menempatkan 122 mangsa daripada keseluruhan 563 mangsa membabitkan 112 keluarga di negeri ini.

“Penambahan dua PPS berkenaan adalah tambahan kepada sembilan PPS sebelum ini kesemuanya di daeerah Alor Gajah yang dipindahkan dari 11 kawasan terjejas membabitkan 441 penduduk daripada 86 keluarga.

“Dua PPS baharu yang dibuka bagi daerah Melaka Tengah adalah di Balai Raya Kampung Tanah Merah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong susulan 16 penempatan terjejas banjir mengakibatkan 122 penduduk daripada 26 keluarga terpaksa dipindahkan.

“Bagaimanapun, tiada PPS diaktifkan bagi daerah Jasin yang menyaksikan hanya penduduk di Kampung Lubuk Kasau terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan pagi ini.

Di Alor Gajah 11 kawasan terjejas adalah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok China, Ramuan China Besar, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin dan Kampung Paya Lebar.

Manakala bagi daerah Melaka Tengah, antara 16 kawasan banjir adalah di Taman Bukit Beruang Melawis, Batu Hampar, Peringgit, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Jalan Ong Kim Wee, Melaka Baru, Kampung Sungai, Putat, Empangan Klebang, Taman Merdeka, Kampung Morten, Kampung Lanjut Manis dan Kampung Tanah Merah. – MalaysiaGazette