Mesej yang ditularkan di aplikasi WhatsApp dan media-media sosial mengenai 16 hanyut di Telemong, Bentong adalah palsu.

KUANTAN- Polis menafikan mesej tular menerusi media sosial hari ini mengatakan 16 orang hanyut dengan lima daripadanya masih hilang kononnya berlaku di Telemong, Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata orang ramai diminta berhenti menyebarkan mesej tersebut bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Ismail Abdul Ghani juga mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.

Hari ini, tular menerusi WhatsApp dan Facebook gambar seorang anggota bomba dalam keadaan berbalut di bahu sedang duduk dengan keterangan ‘dekat Telemong Pahang, 16 orang hanyut, 10 dapat diselamatkan, satu meninggal dan lima lagi masih dicari. Allahu’.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan setakat ini tiada laporan diterima mengatakan terdapat kejadian maut akibat terkena renjatan elektrik di Batu 3, di sini akibat banjir.

Dakwaan itu tersebar dalam kalangan mangsa banjir yang berada di beberapa pusat pemindahan sementara di sini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast