HULU LANGAT – Bagai ditimpa tsunami.
Itu gambaran penduduk melihat keadaan kediaman mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan di sini selepas pihak berkuasa membuka semula jalan yang ditutup sejak semalam.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati bukan sahaja rumah malah premis-premis perniagaan, masjid, surau, madrasah dan sebagainya di kawasan itu terjejas teruk akibat air yang melimpah menerusi Sungai Langat pada Jumaat dan Sabtu lepas.
Rata-rata kediaman penduduk terjejas teruk kerana arus banjir yang deras hingga menyebabkan kemusnahan harta benda hampir keseluruhan rumah penduduk di kawasan berkenaan.
Seorang mangsa, Norshila Zulkamal, 50, berkata, semasa kejadian, dia keluar dan hanya anak-anak serta suaminya sahaja berada di rumah.
Katanya, dia memang menjangka banjir akan berlaku kerana melihat keadaan hujan yang tidak berhenti dan berdasarkan pengalamannya, situasi seperti itu pasti akan menyebabkan berlakunya bencana alam.
Namun, katanya, dia tidak menyangka kejadian air bah kali ini sangat dahsyat sehingga rumahnya hampir tersembam ke bumi ekoran tekanan arus banjir yang kuat ditambah pula limpahan air sungai berhampiran kediamannya.
“Bila air sudah tinggi memang tak boleh buat apa-apalah…biarkan sahaja barang dalam rumah, yang penting selamatkan nyawa dahulu.
“Kami memang mengharapkan bantuan daripada kerajaan, orang ramai dan NGO-NGO untuk membersihkan dan membaiki rumah.
“Kami dah tak tahu kat mana nak tinggal dalam keadaan rumah sudah macam ini,” katanya.
Norshila menambah, banjir yang berlaku kelmarin merupakan kali yang ketiga dalam bulan ini dan sebelum ini air melimpah hingga ke paras dada sahaja.
Katanya, dia ada menerima bantuan daripada kerajaan sebanyak RM1, 000 dalam kejadian dahulu namun ia hanya sekadar digunakan untuk membaik pulih sedikit daripada kerosakan yang dialami.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Shukor Ahmad, 40, pula berkata, hujan yang tidak berhenti selama dua hari lalu menjadi sejarah hitam kepada dirinya sekeluarga.
Katanya, belum pernah dia diuji dengan situasi banjir yang dahsyat seperti ini dan berasa sangat bersyukur kerana dia sekeluarga terselamat daripada musibah yang boleh meragut nyawa.
“Setahu saya di Taman Desa Raya, ini adalah sejarah sejak 40 tahun lalu…kalau ikutkan sebelum ini memang ada banjir, tapi kejadian kali ini memang diluar jangka.
“Rumah saya ini memang jadi tempat transit jiran-jiran berdekatan yang mana rumah mereka rendah…tapi, itulah barang-barang perkakasan rumah termasuk perabot tak dapat saya selamatkan,” katanya yang merupakan seorang pembantu jurutera di sebuah universiti awam.
Muhamad Shukor menganggarkan mengalami kerugian sebanyak RM30,000 akibat bencana alam yang berlaku.
Nik Norzilawati Nik Mohd Din, 40, pula berkata, penduduk kini berdepan dengan masalah apabila mereka terputus bekalan air dan elektrik.
Katanya, disebabkan itu mereka menghadapi kesukaran untuk membersihkan kediaman yang penuh dengan selut dan lumpur.
Justeru, dia dan keluarga sangat mengharapkan bantuan daripada pihak-pihak yang berkenaan kerana kudratnya tidak mampu untuk menguruskan segala-galanya.
“Sekarang ni kita nak minta tolong dengan orang pun tak boleh…masing-masing berdepan masalah sama. Jadi, kami memang harap sangat kalau ada sukarelawan atau pun agensi-agensi kerajaan yang dapat membantu kami untuk membersihkan kediaman kami imi,” tambahnya.
Pesara polis, Ismail Mat Shah, 72, sangat sedih mengenangkan nasib yang menimpa dirinya namun bersyukur kerana dia dan isterinya masih hidup.
Katanya, sekarang dia dibantu oleh anak-anaknya yang tinggal berdekatan untuk membersihkan rumah ekoran kudratnya yang tidak mampu lagi melakukan kerja-kerja berat.
“Buat masa ini, kami bersihkan lumpur dahulu sebab air tiada…masa saya duduk di pusat pemindahan sementera (PPS) eletrik tiada, jadi susahlah kami nak buat apa-apa.
“Di rumah saya ini, semua barang punah, perkakasan elektrik rosak, al-Quran dan buku-buku agama semuanya musnah, sedih hati saya,” katanya yang merupakan imam di Masjid Taman Sri Nanding. – MalaysiaGazette