Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M.Yusof bercakap pada sidang media selepas majlis simbolik penyerahan bantuan Zakat Selangor Peduli bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Idris di Bangunan Sultan Idris, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Sebanyak RM600 disumbangkan kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas dengan bencana banjir di di Selangor.

Sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan melibatkan peruntukan zakat sebanyak RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, mangsa yang terjejas boleh membuat tuntutan dengan menunjukkan bukti laporan polis yang boleh dibuat oleh ketua kampung sebagai wakil mereka.

Dalam masa yang sama, katanya, LZS juga sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa.

“Kita sedang mendapatkan data daripada mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS, mungkin dalam masa dua hari ini akan dapat data untuk salurkan bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di majlis penyerahan sumbangan bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Bukan itu sahaja, LZS juga, kata Saipolyazan turut memberikan bantuan kewangan kepada golongan asnaf untuk membaik pulih rumah yang terjejas akibat banjir teruk baru-baru ini.

Bantuan baik pulih yang disediakan oleh LZS mengikut keperluan sehingga jumlah maksimum iaitu RM31,500.

“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan,” katanya.

Tambahnya, LZS juga memperuntukkan RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mengikut daerah yang menempatkan mangsa banjir .

Jelasnya, sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil-amil zakat terhadap mangsa banjir.

“LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari yang akan diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah dan bantuan tersebut akan diteruskan untuk tempoh lima hari. Semalam, penghantaran 5,000 pek pertama telah dilakukan dan dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat.

“Selain itu bagi memudahkan dan mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa,” tambahnya.-MalaysiaGazette