Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd Khambali@Hambali (dua kanan) kepada Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan Zakat Selangor Peduli bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Idris, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan sebanyak RM3.35 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu Program Pemutihan Mahad Tahfiz.

Sumbangan itu merupakan salah satu inisiatif Zakat Selangor Peduli (ZSP) yang bakal disalurkan kepada 350 buah mahad tahfiz yang bernaung bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, sumbangan berkenaan akan digunakan untuk menampung kos penyediaan Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan serta yuran-yuran berkaitan.

“Sumbangan ini bolehlah digunakan oleh pusat-pusat tahfiz untuk beroperasi dan untuk yang mempunyai masalah kewangan akibat Covid-19,” katanya ketika majlis serahan sumbangan berkenaan di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam hari ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd Khambali@Hambali kepada Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Saipolyazan berharap, sumbangan ZSP itu akan dapat meringankan beban pengusaha maahad tahfiz yang terlibat agar dapat beroperasi sebagaimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.

Sebagai rekod, LZS pada 2 Julai lalu mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar demi menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan termasuk institusi, susulan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dilaksanakan akibat penularan pandemik Covid-19.

Sebanyak 19 inisiatif bantuan ZSP disediakan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast