Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Wang simpanan milik seorang wanita lesap selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai penjawat awam menerusi panggilan telefon.

Mangsa berusia 27 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas wang dalam akaun banknya berjumlah RM44,000 hilang selepas data perbankannya dikongsikan kepada lelaki yang mendakwa dirinya ‘Inspektor Yong.’

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati pekerja swasta itu menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai kesihatan sebelum mendakwa mangsa melakukan kesalahan dengan mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan awam secara berlebihan.

Mangsa didakwa mengambil sebanyak 16 kali dalam tempoh November hingga Disember baru-baru ini.

Mohd Radzi.

Jelas beliau, mangsa kemudiannya menafikan perbuatan itu sebelum panggilannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan sebagai Inspektor Yong dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk tujuan siasatan.

“‘Inspektor Yong’ mendakwa mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta sebelum mengarahkannya memberikan maklumat perbankan konon untuk membekukan akaun mangsa.

“Bagaimanapun, selepas menyerahkan semua maklumat itu mangsa mendapati wang simpanan berjumlah RM44,000 telah dipindahkan ke akaun orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Radzi, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette