Fauzi Ramli

DURIAN TUNGGAL – Nyawa kira-kira 1,500 penduduk Taman Belimbing Setia di sini mungkin sudah boleh diibaratkan pepatah Melayu ‘keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.

Apa tidaknya, usaha mereka untuk mengelak daripada menjadi mangsa tanah runtuh tembok konkrit di Persiaran Belimbing Setia umpama tidak berkesan apabila kenderaan berat yang menggunakan laluan terpaksa dilencongkan menggunakan jalan dalam taman.

Wakil penduduk Fauzi Ramli, 49, berkata, apa yang membimbangkan mereka lori tanah bersaiz lebih 10 tan turut menjadikan jalan di dalam taman sebagai laluan sejak Persiaran Belimbing Setia ditutup ekoran dua kejadian runtuhan tembok sejak semalam dan hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian pertama semalam kira-kira sepanjang 40 meter bahagian tembok konkrit berkenaan runtuh diikuti hari ini sebahagian 50 meter lagi tembok berkenaan runtuh berpunca daripada pergerakan tanah aktif pada musim hujan ketika ini.

“Memang kita takut tanah runtuh, tapi kita juga bimbang jika lori tanah yang sebelum ini menggunakan persiaran itu sebagai laluan utama beralih menggunakan jalan di dalam taman kerana persiaran terpaksa ditutup.

“Saya khuatir keadaan ini akan meningkatkan risiko kemalangan terutamanya membabitkan kanak-kanak yang suka bermain di jalan di dalam taman.

“Diharapkan pihak berkuasa dapat memantau keadaan ini kerana kita tidak mahu kerana takutkan tanah runtuh, tapi nyawa diancam pula bahaya lori tanah,” katanya ketika ditemui di sini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman meluangkan masa hampir satu jam meninjau masalah penduduk.

Dia yang sudah sembilan tahun menetap di taman berkenaan berkata, tiada halangan sekiranya laluan di dalam taman berkenaan dibuka untuk kegunaan kenderaan ringan sementara runtuhan tebing berkenaan dibaik pulih.

“Namun kalau boleh biarlah ada satu jaminan daripada pihak berwajib supaya isu ini tidak mendatangkan musibah kepada penduduk,” katanya.

Terdahulu, masalah penduduk turut mendapat perhatian Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman yang meluangkan masa hampir satu jam meninjau masalah berkenaan.

Menurut beliau, masalah itu akan segera diatasi dan beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan laporan penilaian dalam tempoh tujuh hari sebelum mengambil langkah susulan membina semula tembok konkrit berusia 15 tahun itu.

“Ini adalah kejadian tanah runtuh pertama berlaku di Melaka berpunca daripada faktor cuaca hujan lebat dibawa monsun timur laut yang turut mengakibatkan banyak tempat dilanda banjir.

“Kita ambil kira semua aduan dan kebimbangan penduduk yang akan diselesaikan secepat mungkin selepas penilaian dibuat dalam seminggu ini,” katanya. – MalaysiaGazette