Sebahagian sukarelawan UKM yang sudah digerakkan ke lokasi banjir.

KUALA LUMPUR – Lebih 1200 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) digerakkan ke lokasi banjir di kawasan Selangor bagi membantu mangsa yang terkesan dengan bencana itu.

Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, inisiatif mengumpulkan sukarelawan bagi misi banjir ini berlaku secara pantas sejurus bencana berlaku, hasil usaha pihak hal ehwal pelajar dan pendaftar universiti melalui media sosial.

Menurutnya, sukarelawan ini membantu membersihkan kawasan rumah mangsa terutama sekali penuntut dan kakitangan universiti yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata, UKM telah mengenalpasti sebanyak 67 keluarga kakitangan serta seramai 1,177 orang pelajar yang terkesan daripada bencana banjir kali ini.

“Pada petang semalam, enam buah bas yang memuatkan seramai 120 orang sukarelawan telah digerakkan ke beberapa lokasi banjir di kawasan Bangi Lama dan Hulu Langat.

“Insya-Allah, kita akan terus mengembleng tenaga sukarelawan di lokasi berbeza untuk menyantuni seramai mungkin mangsa banjir dalam kalangan pelajar, kakitangan serta masyarakat setempat,” katanya.

Zakat UKM turut menyalurkan sumbangan berupakan barangan keperluan harian dan kewangan kepada kakitangan yang terkesan dengan bencana ini.

Selain itu, UKM juga menerima sumbangan peribadi daripada alumni universiti yang bermurah hati untuk meringankan beban mangsa. – MalaysiaGazette