Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini memaklumkan pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sungai Rasa).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekalan air di Petaling pulih sepenuhnya pada jam 6 petang tadi manakala kadar pemulihan di Hulu Langat dan Kuala Lumpur masing-masing adalah 78.5% dan 55.4%.

Kawasan-kawasan ini mengalami gangguan bekalan air pada hari Ahad berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan.

Pengurusan Air Selangor berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini telah pulih sepenuhnya.

Bagi LRA Sg Langat dan LRA Langat 2, kedua-dua loji telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam, 22 Disember 2021.

Bagi LRA Cheras Batu 11 pula, kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan.

Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.

Katanya, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. – MalaysiaGazette