JOHOR – Syarikat pembinaan yang berpangkalan di Johor, Haily Group memperoleh kontrak RM40.67 juta daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd.

Kontrak itu diperoleh oleh anak syarikat milik penuhnya Haily Construction Sdn Bhd (Haily Construction).

Kontrak itu membabitkan cadangan pembinaan dan penyiapan 99 unit pejabat kedai tiga tingkat, satu unit pencawang TNB dan 4 unit pencawang kompak TNB di Tebrau, Johor Bahru, Johor.

Tempoh keseluruhan projek adalah 20 bulan dan kerja-kerja dijangka dimulakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat anugerah.

Kontrak terbaharu ini akan meningkatkan nilai projek kami yang kini berjumlah RM557.89 juta, melibatkan 22 projek pembinaan bangunan
dan 2 projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam yang sedang dijalankan,” kata Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai.

“Industri pembinaan di Malaysia terjejas akibat pandemik Covid-19. Bagaimanapun, kami optimis dengan pemulihan industri pembinaan dengan lebih banyak projek disambung semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia ditarik balik.

”Buku tempahan kami akan membuatkan syarikat ini sibuk untuk masa terdekat dan menyumbang kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan syarikat milik Haily untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023,” katanya.

Haily telah memenangi tender untuk projek pembinaan berjumlah lebih RM100 juta pada suku semasa berakhir 31 Disember 2021 dalam beberapa
pengumuman.

Haily Construction pada 12 November telah menerima Surat Anugerah daripada Nice Frontier Sdn Bhd untuk projek perumahan komuniti di Kulai, Johor bernilai RM14.57 juta.

Syarikat pada 5 November 2021 telah menerima anugerah untuk projek kediaman oleh Factor Synergy Sdn Bhd bernilai RM23.70 juta. Haily Construction juga, pada 2 November 2021, telah menerima anugerah bagi projek perumahan kediaman oleh Gunung Impian Development Sdn Bhd yang terletak di Tebrau, Johor bernilai RM27.21 juta.

Haily membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 21 Julai 2021.

Kumpulan ini pada dasarnya merupakan kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, khususnya Johor, selain menyediakan jentera pembinaan untuk tujuan penyewaan. – MalaysiaGazette