S. Kunaseelan.

SHAH ALAM – “Kami terperangkap di tingkat dua rumah tanpa makan dan minum lebih dua hari sehingga lesu dan pitam.”

“Oleh kerana tiada pilihan, kami terpaksa meminum air tandas untuk menahan kelaparan dan tunggu bantuan makanan tiba dari pihak berkuasa.”

Itu luahan S. Kunaseelan, 36, salah seorang mangsa banjir di Seksyen 25 Taman Sri Muda di sini ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, beliau sekeluarga terperangkap sejak Jumaat lalu dan hanya berjaya keluar dari banjir dengan menaiki bot anggota  bomba kira-kira pukul 2 petang pada Ahad lalu.

“Saudara saya paksa anggota bomba yang ditemuinya mendapatkan bot dan akhirnya kami berjaya menyelamatkan diri dari rumah yang ditenggelami banjir.

“Kira-kira 50 jam bertahan lapar tanpa akses makanan minuman dan ditambah pula dengan bekalan elektrik dan air terputus selain telefon bimbit sudah tidak berfungsi menggagalkan sebarang usaha meminta bantuan,” kata Kunaseelan.

Menurutnya, kira-kira 28 tahun lalu banjir besar pernah melanda kawasan perumahannya tetapi tidak seteruk kali ini yang dianggapnya luar biasa.

“Banjir itu tidak seteruk Sabtu lalu..memang luar biasa sehingga kami trauma,” katanya.

Ujarnya lagi, ketika terperangkap, dia dan adik lelakinya risau keadaan ibu dan isterinya yang sudah hilang tenaga kerana tiada makanan.

“Apa boleh buat, kami tiada pilihan lain, terpaksa minum air tandas untuk survive. Ketika itu saya berasa seolah-olah matilah kami,” ujarnya.

Katanya, dia dan adiknya juga telah membuang air  menggunakan baldi  ke luar tingkap sehingga penat walaupun sedar sia-sia.

“Bayangkan semasa hujan lebat melanda taman ini, dalam masa 25 minit air mencapai paras dada sebelum kami segera naik ke tingkat atas dan mengunci pintu,” katanya lagi.

Kunaseelan menambah bahawa empat kenderaan miliknya iaitu dua kereta sedan, sebuah pacuan empat roda dan van yang digunakan untuk perkhidmatan kurier juga rosak akibat banjir.

Beliau juga tidak dapat memastikan jumlah kerugiannya memandangkan hampir segala harta benda serta kenderaannya musnah sepenuhnya selain air banjir masih belum surut sepenuhnya.

“Bomba menasihati kami bahawa air banjir ini akan ambil masa dua hari lagi untuk surut sepenuhnya dan terpaksalah menunggu untuk membersihkan rumah kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast