Minister of Transport Datuk Seri Dr Wee Ka Siong train crash LRT Kelana Jaya hostler negligence counterflow driving against traffic flow driver fatal road accidents
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Kesemua mangsa banjir diberikan pengecualian bayaran untuk menggantikan dokumen berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang hilang atau rosak.

Dokumen-dokumen itu termasuklah Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) tetapi mereka perlu menyertakan sekali dengan laporan polis, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata demikian pada media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics & Transport (KiLAT) bertempat di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) di sini hari ini.

Menurut Ka Siong, sejak hujung minggu lalu, agensi-agensi Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu mereka yang terjejas akibat banjir termasuk kakitangan dan juga orang awam.

“Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak bersama sukarelawan telah turun padang mengagihkan set generator, barangan keperluan berupa makanan, tilam, selimut dan barangan penjagaan diri lain kepada mangsa banjir,” katanya.

Seramai 46 pegawai dan kakitangan JPJ Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) juga dikerahkan menghantar makanan dan barangan keperluan lain kepada mangsa yang terkandas dengan menggunakan bot, katanya.

“JPJ juga menempatkan skuad bantuan banjir dan pembersihan di Kuantan,” katanya.

Selain itu,  Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut memberi perlindungan kepada kira-kira 150 mangsa banjir di stesennya di Padang Jawa.

Hub Bas di Stesen LRT Putra Heights (PTH) juga dibuka sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) bagi kawasan sekitar dan mangsa banjir telah diberi makanan serta barangan keperluan.

“Dana sebanyak RM350,000 diperuntukkan untuk tiga PPS iaitu di PTH dan dua depoh Rapid KL untuk menempatkan 340 keluarga.

“Jabatan Laut Malaysia (JLM) juga menyediakan PPS di Wisma Pelaut di Pelabuhan Klang dan Institut Latihan Pengangkutan Maritim (MATRAIN) di Pulau Indah, Selangor,” katanya.

Menurutnya, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pula telah mengerahkan 15 pemandu penggerak utama (prime mover) untuk operasi pembersihan di terminal Pelabuhan Utara di Klang yang terjejas akibat banjir.

Ia bagi memastikan gangguan terhadap pergerakan kontena dan kargo serta keseluruhan rantaian bekalan logistik dapat diminimakan.- MalaysiaGazette