Timbalan Ketua Polis Pahang (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri pahang di Bukit Sagu 7, Kuantan hari ini

KUANTAN – Ekoran banjir melanda termasuk di Pahang, polis menasihati masyarakat agar terus menyalurkan maklumat tepat kepada pasukan penyelamat.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat yang tepat dapat membantu menyelamatkan mangsa banjir daripda terperangkap untuk dipindahkan segera.

Ketika tinjauan di Temerloh, beliau berkata, keadan banjir di Pahang Barat semakin serius dan diluar jangkaan.

Justeru segala maklumat yang diterima daripada masyarakat amat dihargai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Situasi banjir amat besar di Pahang dan di luar dugaan kita, jadi saya nasihat kepada orang ramai untuk membantu pihak penyelamat menyalurkan maklumat tepat kepada pasukan penyelamat seperti polis, bomba, tentera dan APM.

“Kita memahami orang ramai terkesan dan menjadi mangsa banjir untuk berpindah dengan kadar segera ke tempat lebih selamat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pihaknya juga menggesa orang ramai terus menyampaikan maklumat jika terdapat orang terperangkap di tempat masing-masing untuk diselamatkan bagi memudahkan usaha memindahkan mereka ke pusat pemindahan banjir.

“Kepada masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu orang ramai terkesan juga boleh sampaikan maklumat jika  ada terperangkap.

“Saya berterima kasih kepada masyarakat yang peka menyalurkan maklumat kepada polis dengan pelbagai cara seperti media masa,  kami ambil tindakan untuk membantu mereka,” kataya.

Pihaknya turut menasihati masyarakat supaya mematuhi arahan semasa dalan situasi banjir dan menjaga keselamatan diri serta keluarga masing-masing.

Untuk rekod sehingga kini, sebanyak lapan kematian direkodkan sepanjang tempoh musibah banjir yang berlaku di Pahang. – MalaysiaGazette