BANTING – Memasuki hari keempat, banjir di sekitar bandar Banting dilihat semakin surut tetapi masih ada mangsa-mangsa banjir berlindung di pusat penempatan sementara.
Bagaimanapun, satu keluarga di Bukit Changgang yang berada di atas lori menarik perhatian lensa Malaysia Gazette.
Rashidah Suripm ibu kepada dua anak itu berkata, dia terpaksa tumpang berteduh dan tidur di atas lori 12 tayar yang dipakir di hadapan Taman Sri Changgang kerana tiada pilihan.
Katanya, untuk keluar dari kawasan itu bimbang pula keselamatan rumah, tambahan pula Pusat Penempatan Sementara (PPS) sudah penuh.
“Saya tinggal dengan anak-anak dan suami bersama-sama jiran sebab PPS dah penuh. Sambil-sambil tu jaga barang takut orang masuk dalam rumah.
“Di sini pun boleh juga tidur, sudah tiga hari dua malam tidur sini (dalam lori),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Rashidah berkata, dia tinggal di dalam lori ini bersama dua anaknya sejak banjir mula melanda Ahad lalu.
Katanya, ketika itu rumahnya sudah dimasuki air dan barang-barang di dalamnya sudah terapung.
Tambahnya, sementara menunggu air betul-betul surut dan boleh masuk dan bersihkan rumah, dia memilih untuk berada di dalam lori yang dimiliki oleh rakannya.
Berbeza dengan Mazizi Mohamad, 42 yang terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk menempatkan keluarga beliau di inap desa di Banting demi memikirkan keselamatan mereka sekeluarga.
Katanya, perkara pertama yang beliau lakukan adalah memastikan keluarga mempunyai tempat tidur dan keselamatan mereka terjamin.
“Saya pula terpaksa berulang-alik tengok keadaan rumah dari hotel,” tambahnya yang mungkin akan menumpangkan keluarganya di rumah adiknya.
Mazizi berkata, di kawasan ini, Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang dijadikan PPS dan semua bantuan disalurkan di situ. – MalaysiaGazette