Mohd Hamdi Abd Shukor menyerahkan alatan water jet sebagai simbolik pelancaran Tabung Bantuan dan Misi Bantuan Banjir.

KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, melancarkan Tabung Bantuan dan Misi Bantuan Banjir bagi bersama-sama membantu staf, pelajar dan juga orang awam yang terjejas akibat banjir.

Menurut Hamdi, sebagai sebuah Universiti yang menerapkan nilai kebersamaan, Universiti Malaya sentiasa bersama-sama dengan rakyat Malaysia dalam mengharungi musibah ini.

”Seramai lebih 300 sukarelawan yang terdiri dari staf dan pelajar digerakkan dalam Misi Bantuan Fasa 1 ini bermula hari ini sehingga Jumaat.

”Orang ramai juga boleh menderma kepada Tabung Bantuan Banjir ini melalui e-pay@um atau e-wallet. Hasil dari kutipan tabung bantuan ini, Universiti Malaya akan salurkan bantuan dari segi kewangan dan makanan kepada mereka yang terjejas.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Misi Bantuan Banjir 2021, Sarinah Sallip, berkata, misi bantuan pertama telah digerakkan hari ini ke Kampung Tengah, Batu 13, Puchong dan juga Bukit Lanchung, Subang Jaya bagi menjalankan kerja-kerja mencuci rumah, membantu mengalihkan perabot,
sumbangan peralatan pencucian, dan juga sumbangan makanan kepada yang terjejas.

Misi bantuan ini akan diteruskan di beberapa lokasi lain di Lembah Klang bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Setakat hari ini, seramai 250 orang staf Universiti Malaya terjejas dengan bencana banjir ini, katanya. – MalaysiaGazette