KALABAKAN – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyantuni seramai 115 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan menerusi Mini Karnival Hari Nyamuk sempena Hari Nyamuk Sedunia, dalam usaha meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai malaria, penyakit bawaan nyamuk serta hubungan antara perubahan alam sekitar dengan kesihatan manusia.
Program hasil kerjasama antara Pusat Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Borneo (BMHRC) UMS, National University of Singapore (NUS) dan PACOS Trust menerusi SENSOR Project itu memberi penekanan kepada pendidikan kesihatan, kesedaran
alam sekitar dan penglibatan komuniti.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah permainan papan “Selamatkan Kampung Kita”, ceramah mengenai nyamuk dan penyakit bawaan nyamuk serta aktiviti interaktif berkaitan perubahan alam sekitar dan langkah pencegahan penyakit.
Selain itu, konsep One Health yang mengaitkan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar turut diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman golongan muda mengenai hubungan antara kesihatan dan persekitaran.
Menurut penceramah dan wakil UMS, Dr. Siti Asmah Muslim, pendidikan kesihatan dalam kalangan generasi muda penting bagi membentuk komuniti yang lebih peka terhadap ancaman penyakit serta perubahan alam sekitar.
“Meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda merupakan satu langkah penting dalam membina komuniti yang lebih sihat dan berdaya tahan.
“Melalui program ini, kami berharap dapat membantu pelajar memahami hubungan antara perubahan alam sekitar, nyamuk dan kesihatan manusia, khususnya risiko yang berkaitan dengan penyakit bawaan nyamuk dan penyakit zoonotik,” katanya.
Beliau berharap pelajar dapat berkongsi pengetahuan yang diperoleh bersama keluarga dan komuniti masing-masing serta menjadi duta muda dalam usaha pencegahan penyakit dan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar.
Program itu membuktikan bahawa pendidikan kesihatan tidak semestinya terhad di dalam bilik darjah, sebaliknya boleh disampaikan menerusi pendekatan kreatif dan interaktif yang membantu pelajar menghubungkan ilmu yang dipelajari dengan keadaan sebenar di persekitaran mereka. – MalaysiaGazette
















