Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan akan melaksanakan inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan, terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

“Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, tambah beliau, Banks Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000.

Katanya, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

Jelasnya, bank tersebut moratorium selama bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan ia terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Dalam pada itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN) Nasional mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang terkesan.

Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan, ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 202 (DRF 2022).

“BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Tambah beliau, kesemua inisiatif itu adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah beliau umumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir. – MalaysiaGazette