Penduduk mengharungi banjir untuk mengambil barangan keperluan dari kediaman yang dilanda banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Situasi dan ciri banjir yang berbeza antara sesebuah tempat, menyebabkan pengurusan bencana juga berlainan, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.

Beliau berkata sesuatu pengurusan itu perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh komander operasi bencana terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan.

“Kadang-kadang kita tidak tahu keadaan (situasi banjir) di sesuatu tempat. Ia berbeza-beza situasi dan kita cenderung buat andaian am bagi semua tempat. Itu tak betul keadaan seumpama itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi  banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.

Rodzi berkata secara keseluruhan, beliau mendapati pengurusan bencana di Taman Sri Muda khususnya berada pada di tempatnya dan sudah berjalan dengan baik.

“Cuma pada peringkat awal disebabkan hujan yang terlalu banyak, secara tiba tiba. Kita tidak menjangka paras air akan naik sebegini tinggi jadi kita terperangkap dalam banyak keadaan.

“Namun agensi kerajaan semua telah memainkan peranan, berusaha bersungguh-sungguh walaupun keluarga masing-masing ada yang kena banjir, tetapi semua petugas kerajaan cukup komited untuk memberi khidmat yang terbaik,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast