Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib. Foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Mangsa-mangsa banjir yang kini ditempatkan di 18 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Shah Alam, Selangor tidak dibenarkan pulang ke kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan mangsa banjir selamat dan mereka akan terus ditempatkan di PPS sehingga keadaan kembali pulih.

Katanya, setakat hari ini seramai 4,276 mangsa telah diselamatkan dari kawasan banjir dan seramai 4,080 mangsa telah dipindahkan ke 18 PPS di daerah itu.

“Selebihnya telah memilih untuk menguruskan diri mereka di lokasi perumahan masing-masing yang mana berkemungkinan berhijrah ke rumah saudara mara atau keluarga terdekat.

“Untuk mereka yang masih ada di PPS, mereka akan terus dikekalkan di sana dan tidak akan dibenarkan kembali ke rumah mereka sehingga situasi cuaca kembali normal dan selamat untuk semua,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Menurut Baharudin, bagi mangsa banjir yang memilih kekal di rumah, mereka dibenarkan berbuat demikian namun dalam keadaan berjaga-jaga selepas ini.

“Oleh kerana kita menerima maklumat Jabatan Meteorologi bahawa cuaca tidak stabil dan tidak menentu serta menjangkakan hujan untuk empat lima hari akan datang, maka mereka yang berada di rumah sila bersiap sedia dalam keadaan berjaga-jaga.

“Jika wujud keperluan, pasukan penyelamat mengarahkan mangsa meninggalkan rumah sekiranya cuaca tak izinkan kita akan bertindak segera dan pada masa yang sama akan terus memantau keadaan cuaca dan harap penduduk beri kerjasama kepada pihak berkuasa.

Sementara itu Baharudin menafikan dakwaan bahawa polis telah menyekat Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan mereka mangsa banjir, seperti tular di laman media sosial.

“Ia tidak benar, sebenarnya kami tak sekat mana-mana NGO yang turun menghulurkan bantuan kepada mangsa di Seksyen 25 Taman Sri Muda,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya membantu menguruskan NGO di lapangan supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih teratur dan sistematik.

“Kita ada mendirikan khemah khas dikendali oleh NGO dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan saya nafi sekeras-kerasnya polis halang bantuan NGO kepada mangsa,” katanya.

Mengulas mengenai insiden pecah masuk kedai serbaneka di Taman Sri Muda kelmarin, Baharudin memberitahu, sebanyak 10 laporan diterima polis yang membabitkan pencerobohan premis perniagaan termasuk kedai makanan segera.

Katanya, seramai 37 warga asing disyaki memecah masuk dan mencuri barang perkakasan elektrik dari kedai serbaneka telah ditahan dan disiasat polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast