Dr. Abdul Latiff Ahmad

HULU LANGAT – Pejabat Daerah bagi negeri-negeri yang terlibat dengan banjir diminta segera mendapatkan maklumat kerugian yang dihadapi mangsa-mangsa banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, langkah itu bagi menyegerakan urusan penilaian kerosakan bagi membolehkan bantuan RM100 juta dan wang ehsan RM1,000 yang diumumkan sebelum ini disalurkan secepat mungkin.

“Kita mahu permudahkan. Kita mahu DO (Pegawai Daerah) permudahkan. Kita di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kalau boleh sekarang mahu bayar RM1,000 itu.

“Paling utama kita mahu tahu laporan kerosakan harta benda. Kita mahu satu data yang jelas dari Pejabat Daerah kerana pengumuman Perdana Menteri mengenai dana RM100 juta kerosakan bencana termasuk rumah yang hanyut itu.

“Memang kita akan sediakan bantuan. Data ini perlu dikumpul dengan segera,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, hari ini.

Menurut Abdul Latiff, segala urusan mangsa banjir perlu diutamakan seperti urusan kehilangan dokumen diri.

“Banyak orang hilang dokumen. Saya sudah bincang, supaya mereka laporkan kepada polis dan bila mereka kata mangsa banjir, maka kita mudahkan. Yang penting dia mesti rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, pihaknya mengakui biarpun arahan pindah sudah diberikan lebih awal oleh polis dan bomba, namun kelewatan sebahagian mangsa berpindah menyebabkan mereka terkandas.

“Pada hari Sabtu lepas, polis sudah ronda, malah arahan berpindah juga sudah dikeluarkan tapi manusia, biasalah dia ingat ini hanya banjir kilat.

“Amaran awal di negeri lain nampak lebih kemas dengan penduduk ambil tindakan segera berpindah. Tapi di Selangor, bila hujan dia jangka hanya banjir kilat. Jadi dia tidak ambil pendekatan lebih awal (untuk berpindah),” katanya.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dikeluarkan hari ini memaklumkan seramai 64,052 mangsa banjir daripada 14,250 keluarga kini ditempatkan di 385 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.

Sebanyak 15 buah PPS telah di buka di Kelantan melibatkan tiga daerah, 231 PPS di Pahang melibatkan 10 daerah, tiga PPS di Melaka melibatkan dua daerah, lima PPS di Negeri Sembilan melibatkan dua daerah, 128 PPS di Selangor melibatkan lapan daerah, dua PPS telah dibuka di Perak melibatkan satu daerah manakala satu PPS di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Semua PPS di Terengganu telah ditutup.

NADMA berkata, bagi banjir di Hulu Langat, Selangor pada 18 hingga 21 Disember seramai 2,165 mangsa telah dibawa keluar anggota-anggota penyelamat. – MalaysiaGazette