Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis daerah Gombak menafikan laporan yang mendakwa penduduk Kampung Sungai Tua Tanah Gantian diarah pihak berkuasa untuk meninggalkan kawasan itu kerana pelepasan air dari Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan kenyataan mengenai perkara tersebut daripada akaun Facebook Batu Caves Dihatiku pada hari ini.

“Dalam kenyataan tersebut, pemilik Facebook mengatakan pihak polis telah mengarahkan penduduk Kampung Sungai Tua Tanah Gantian untuk mengosongkan rumah disebabkan pelepasan air Empangan Batu akan dibuat secara perlahan-lahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyiafatkan berita itu hanya salah faham dalam kalangan penduduk semasa lawatan kebajikan Polis Daerah Gombak ke kampung tersebut sebelum ini.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang awam supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak sahih sehingga membangkitkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu,” ujarnya. – MalaysiaGazette