Singapura
Bandar raya Singapura.

SINGAPURA – Penjualan tiket bas di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) untuk perjalanan ke Singapura atau Malaysia dibekukan buat sementara waktu bermula dari 23 Disember hingga 20 Januari 2022, susulan peningkatan kes varian Omicron di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, semua pengembara yang sudah mempunyai tiket VTL boleh meneruskan perjalanan di bawah VTL darat,” menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura dalam satu kenyataan.

Mereka yang bukan rakyat Singapura atau penduduk tetap yang belum mendapatkan Pas Perjalanan Lengkap Vaksin (VTP) boleh terus memohon melalui https://go.gov.sg/vtl-portal.

“Kami juga akan mengurangkan sementara kapasiti dan jualan tiket, untuk perjalanan VTL darat mulai 21 Jan 2022 diikuti separuh atau bersamaan 24 perjalanan sehala sehari.

“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyesuaikan kapasiti VTL darat dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di kedua-dua negara dan di dunia,” menurut MTI.

MTI menasihatkan pelancong supaya mematuhi protokol ujian saringan sedia ada.

“Ini termasuk Ujian Pantas Antigen (ART) semasa ketibaan serta protokol ART tujuh hari.

“Pengembara juga harus menunaikan tanggungjawab masing-masing dan meminimumkan interaksi sosial, elak menyertai aktiviti tanpa memakai pelitup muka, perhimpunan berskala besar dan tempat sesak selama tujuh hari dari ketibaan, walaupun mereka mempunyai keputusan ART negatif,” jelas MTI.

MTI menyatakan pengembara yang tidak sihat, termasuk yang mempunyai gejala awal atau ringan, mesti bertanggungjawab dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Maklumat lanjut mengenai VTL darat antara Singapura dan Malaysia, boleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg/vtl-land/overview.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) memaklumkan pihaknya akan mengambil langkah proaktif untuk mengurus aliran masuk pengembara VTL dan mengurangkan risiko kepada komuniti Singapura.

“Penjualan tiket baharu untuk VTL udara juga ditangguhkan untuk semua kemasukan ke Singapura dari semua negara VTL,” jelas kenyataan itu.

Untuk kemasukan ke Singapura dengan penerbangan VTL yang ditetapkan mulai 21 Jauari 2022, CAAS akan mengehadkan jumlah jualan tiket sebanyak 50 peratus daripada peruntukkan kuota.

Di bawah VTL,menurut CAAS pelancong lengkap vaksin dari negara VTL dan mengikuti penerbangan VTL yang ditetapkan, boleh memasuki Singapura tanpa kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian saringan COVID-19.

Pelawat jangka pendek (STV) dan pemegang pas jangka panjang (LTPH) perlu memohon VTP untuk memasuki Singapura.

“Warganegara dan penduduk tetap Singapura (SCPR) yang lengkap vaksinasi dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak perlu memohon VTP untuk memasuki Singapura,” menurut CAAS.

CAAS menyatakan SCPR yang memegang tiket penerbangan VTL serta memenuhi semua syarat tidak akan terjejas dan boleh terus memasuki Singapura.

Mereka yang tidak cukup syarat akan tertakluk kepada langkah kesihatan sempadan, termasuk keperluan kuarantin.

LTPH dan STV pula boleh terus melakukan perjalanan ke Singapura tanpa kuarantin jika mempunyai VTP dan tiket yang sah selain memenuhi semua syarat lain.

Sementara mereka yang gagal mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan mungkin tidak dibenar masuk ke Singapura. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast