Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi program Pembiayaan Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menyediakan penyelesaian pembiayaan jangka pendek menerusi platform digital.

SME Corp merupakan agensi penyelaras pusat di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, program itu terbuka kepada semua PMKS, terutama mereka yang terjejas akibat Covid-19 serta bencana banjir.

“Pembiayaan ini tepat pada waktunya bagi membantu PMKS yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini dan merupakan platform pembiayaan lebih mudah dan cepat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Pembiayaan Digital PMKS serta Majlis Penutup SMIDEX 2021 di sini, hari ini.

Acara itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad.

Ryzal berkata, terdapat sebanyak 1.15 juta PMKS di seluruh negara, termasuk 226,000 di Selangor dengan anggaran 50,000 PMKS terjejas akibat banjir khususnya di Shah Alam dan Hulu Langat.

Beliau berkata, program pembiayaan tersebut turut melibatkan microLEAP, sebuah pengendali pembiayaan rakan setara yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menawarkan pinjaman menerusi platform digital.

“Pembiayaan itu menawarkan pinjaman jangka pendek berjumlah RM50,000 hingga RM500,000 pada kadar tetap serendah 2.0 peratus setahun. PMKS yang berminat boleh memohon bagi tujuan modal kerja dan aktiviti peningkatan keupayaan perniagaan.

“Permohonan ini sepenuhnya secara dalam talian dan (proses) pertimbangannya mengambil masa sehingga 14 hari bekerja,” katanya.

Menurut Ryzal, pembiayaan tersebut juga boleh ditukar kepada geran padanan sehingga 50 peratus daripada jumlah kelulusan pembiayaan dan geran padanan itu bagi pinjaman berlandaskan pembangunan kapasiti seperti pemberian lesen, pensijilan dan pembungkusan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP Matthew Fernandez berkata setakat ini sebanyak 32 PMKS telah menerima pembiayaan tersebut yang melibatkan nilai keseluruhan hampir RM9.9 juta.

“Kita menyasarkan untuk membantu 40 PMKS dalam projek rintis ini yang menawarkan produk patuh Syariah serta PMKS boleh memohonnya pada bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette