Ikmal Hisham, Ahli Parlimen Tanah Merah dari Parti Bersatu

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah merangka program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) dan kini dalam proses mendapatkan sejumlah pesawat tempur dari Kuwait, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, perolehan yang dirancang itu melibatkan 33 buah pesawat F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait yang masih dalam keadaan baik serta mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Beliau berkata, kerajaan Kuwait dijangka melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) yang lebih moden dan kini dalam proses penghantaran oleh syarikat Boeing dari Amerika Syarikat.

“Namun inisiatif ini masih menunggu perbincangan antara kedua-dua buah negara atau di peringkat kerajaan dengan kerajaan. Sekiranya inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti ia akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM dalam menjaga ruang angkasa negara,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Zaiedi Suhaili yang meminta penjelasan mengenai rancangan program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D dan sama ada dibuat penambahan bilangan pesawat jenis sama pada masa hadapan bagi kekurangan pesawat itu ketika ini.

Ikmal Hisham berkata, perancangan itu juga telah dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55) Fasa 1.

Menjawab soalan asal Zaiedi mengenai sejauh mana rancangan pemodenan aset pesawat tempur dan pesawat latihan diberikan keutamaan dalam 2022, beliau berkata tiada perancangan pemodenan bagi pesawat latihan TUDM untuk tahun depan berikutan ia masih relevan bagi tujuan latihan.

Menurutnya, pesawat latihan TUDM yang terdiri daripada pesawat latihan sayap kaku jenis PC7 dan pesawat latihan helikopter jenis EC120 akan terus diguna pakai untuk tahun depan seperti yang digariskan dalam CAP55.

Selain itu, beliau berkata TUDM juga berhasrat menggunakan pesawat tempur F/A-18D sehingga 2035.

“Lanjutan dengan itu, TUDM telah merancang program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D yang dijangkakan bermula pada 2022 bagi memastikan kesiagaan pesawat ini kekal relevan.

“Kementerian Pertahanan juga telah mengangkat permohonan peruntukan bagi program ini kepada Kementerian Kewangan pada tahun ini. Di samping itu, pesawat tempur Sukhoi Su-30 MKM kini juga sedang melalui program peningkatan keupayaan,” katanya. – MalaysiaGazette