Mazli ketika melawat tapak pameran pistol perenjat elektrik selepas merasmikan Majlis Persidangan Tahunan Persatuan Polis Batuan Malaysia (MAPA) Kali Ke-32 di Hotel The Wembley A St Giles, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Khidmat polis bantuan akan digunakan bagi pengurusan bencana banjir sekiranya perlu pada masa depan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Mazli Mazlan berkata, ia bergantung pada persetujuan syarikat polis bantuan masing-masing.

“Buat masa ini khidmat polis bantuan belum diguna dalam pengurusan bencana banjir secara menyeluruh. Mereka (polis bantuan) hanya membantu kawasan terjejas di bawah jagaan mereka.

“Jika ada keperluan kita akan minta bantuan mereka pada masa akan datang dan ia bergantung atas persetujuan syarikat yang melantik polis bantuan tersebut,” katanya.

Mazli (kiri) bersama Mohd Razali pada majlis Persidangan Tahunan Persatuan Polis Batuan Malaysia (MAPA) Kali Ke-32 di Hotel The Wembley A St Giles, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan (MAPA) kali ke-32 di Hotel The Wembley A St Giles di Jalan Magazine di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MAPA, Mohd Razali Abd Aziz.

Sementara itu, Mohd Razali berkata, pihaknya telah mewujudkan pasukan khas bagi membantu kes-kes tertentu dan tiada masalah untuk menyertai misi bencana banjir.

“Buat masa ini, kita telah tubuhkan pasukan khas yang dilatih dengan pelbagai kecekapan agar mampu menangani pelbagai isu di kawasan perkhidmatan.

“Tidak ada masalah sekiranya khidmat kami diperlukan untuk bencana banjir memandangkan pasukan khas itu sudah berada dalam keadaan siap siaga berdepan sebarang kemungkinan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette