HULU LANGAT – Pasukan sukarelawan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – MyLiveable Squad hari ini turun padang bagi misi pemulihan pasca banjir di sekitar Sungai Serai, Sepang dan Kapar.
Misi yang diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Mericanya Naina Mericanya itu bertujuan membantu membersihkan rumah-rumah mangsa banjir.
Seramai 372 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan KPKT serta jabatan dan agensi-agensi di bawah kementerian turut menyertai misi tersebut antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamatan, Perbadanan PR1MA dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
Kawasan-kawasan terlibat dalam misi MyLiveable Squad adalah Sungai Serai (Hulu Langat), Kampung Labu Lanjut (Sepang) Pekan Salak, Kampung Lembah Paya (Sepang) dan Taman Cempakasari (Kapar) yang melibatkan 1,250 buah rumah.
“Tumpuan KPKT bagi Fasa 1 adalah bagi aktiviti menyelamat mangsa-mangsa banjir yang dilaksanakan sepenuhnya oleh 5,000 anggota Bomba di mana seramai 23,805 mangsa di bawah kendalian jabatan itu telah berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara seluruh negara,” kata Reezal Merican.
Selain itu, menurut beliau, bagi Fasa 2 iaitu fasa pemulihan pasca banjir, KPKT dan agensi turun padang bagi usaha pembersihan rumah serta tempat awam serta menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir.
Bantuan yang diperuntukan oleh KPKT berupa 1,400 pek makanan siap dimasak, bakul makanan yang mengandungi beras, minyak masak, gula, tepung, sardin, maggi, barang makanan kering (biskut dan roti), mineral water serta barangan berupa 2,000 set tilam, selimut, bantal dan 3,000 set tuala.
Katanya, KPKT turut memikul tanggungjawab demi rakyat dengan membantu kerja-kerja pembersihan awam di Selangor meskipun pada dasarnya, Selangor tidak mengguna pakai Akta 672.
Beliau turut menambah bahawa pihak SWCorp telah diminta untuk menyelaras kerja-kerja pembersihan awam dengan syarikat- syarikat konsesi seperti Alam Flora, Southern Waste Management dan E-Idaman di seluruh kawasan yang terjejas di Selangor.
“Dalam soal kepentingan rakyat yang kini dalam keresahan, soal legalistik dan bidang kuasa diketepikan sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan awam khususnya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
KPKT dan agensi di bawahnya juga memperuntukan sebanyak RM58 juta bagi usaha pemulihan banjir seluruh negara dengan perincian seperti berikut:
a) Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) : RM 50 Juta (kos membaik pulih infrastruktur di 25 PBT yang terjejas banjir);
b) PR1MA : RM 2 juta (keperluan asas, bakul makanan dan lain-lain; dan
c) SWCorp : RM 6 juta (kos kerja pemulihan dan pembersihan pasca banjir)
Selain itu, bagi operasi harian Bomba setakat hari ini (22 Disember 2021), terdapat sebanyak 39 misi pemindahan mangsa melalui darat, dua misi menyelamat mangsa yang hilang (Pahang), lapan misi pemindahan pesakit (Kelantan dan Pahang) dan empat Misi Sanitasi di seluruh negara.
Bagi misi kali ini seramai 42 anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor telah terlibat dalam operasi penyelamatan dan pemindahan. – MalaysiaGazette