Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

SHAH ALAM – Semua pihak sebenarnya perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan kepakaran masing-masing bagi memastikan tugasan membantu dan menyelamat mangsa  bencana dapat dilakukan dengan lancar.

Malah pada masa ini tuding jari dan cari salah bukan boleh menyelesaikan masalah sebaliknya kena duduk semeja fikir cara terbaik tanpa mempolitikkannya.

Itu tegas Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hassim kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, pihaknya begitu tersentuh untuk melihat sendiri penderitaan yang sedang dilalui oleh kesemua mangsa banjir tanpa mengira kaum dan latarbelakang yang telah membadai beberapa buah negeri pada masa ini.

“Ada banyak perkara yang perlu kita buat sebenarnya. Saya rasa betul bantuan kritikal bukan bahan makanan sebaliknya makanan yang telah dimasak. Kalau beri bahan mentah, bagaimana mereka hendak masak? Alatan memasak pastinya sudah musnah, hilang atau rosak.

“Juga kita perlu kenal pasti lokasi seperti dewan di tempat-tempat terjejas teruk bagi mengagih dan mengedar makanan-makanan tersebut, tidaklah nampak tidak berkordinasi dan masyarakat setempat juga tahu ke mana arah tuju mereka jika ada keperluan itu. Ambil untuk jiran, kenalan dan keluarga.

“Antara lokasi yang kita tengok sekarang ini seperti masjid, rumah beribadat. Jadikan pusat memasak dan agihan makanan. Itu memang penting, makanan itu satu keperluan. Ketika ini keadaan mereka agak teruk, rumah mereka sudah musnah 100 peratus, mereka perlu baiki kediaman mereka.

“Sekurang-kurangnya kita boleh bekalkan makanan kepada mereka sehingga beban memperbaiki rumah, membersihkan rumah itu dapat dilakukan, jika bukan kita siapa lagi yang boleh mereka cari?,” katanya.

Kata Hishamuddin lagi, selain daripada sumbangan makanan, alat pembersihan juga satu keperluan penting bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Badan-badan korporat dan NGO boleh memberi sumbangan alat pemberishan, antaranya ‘waterjet’ dan jenerator kepada ketua-ketua kampung dan ketua taman perumahan yang boleh dikongsi bersama-sama. Gunakan juga belia-belia kawasan bagi tenaga kerja, banyak belia ini sanggup turun padang bergotong royong.

“Apa yang mereka tiada ialah alatan pembersihan kerana ianya mahal. Mereka tidak mampu beli waterjet yang harganya hampir RM1,000. Waterjet yang mahal harganya mampu tangani ‘overheat’. Bekalan elektrik juga mengalami gangguan di banyak lokasi, kita perlu generator. Harga bahan itu sekitar RM700.

“Jika barangan seperti ini dapat disumbangkan, pastinya kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan dengan lebih cepat. Saya cadang sekurang-kurangnya 30 buah rumah perlu ada satu waterjet dan generator,” katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut memohon media untuk memainkan peranan penting menyiarkan maklumat penting dan tepat sepanjang tangani bencana banjir ini.

“Beri maklumat seperti kawasan mana perlukan tenaga kerja bagi tujuan memasak dan pembersihan. Jumlah tenaga yang diperlukan untuk memasak dan pembersihan.

“Dengan maklumat ini NGO dan orang perseorangan dapat bergerak ke lokasi, beri juga maklumat siapa yang perlu dihubungi dan nombor telefon ketua masyarakat di kawasan tersebut, sukarelawan dapat teruskan berkomunikasi dengan lebih efektif.

“Hakikatnya perlu perlu ada koordinator di setiap kawasan setempat yang boleh di hubungi. Semua ini sangat penting dan amatlah membantu pada masa ini,” tegasnya.

Hishamuddin juga memohon supaya umum tidak mengharapkan kerajaan semata-mata sebaliknya semua yang mampu untuk tampil menyumbang dalam apa jua cara.

“Tidak semestinya wang ringgit, tenaga kerja, dan segala macam yang anda boleh lakukan. Beban dapat di ringankan. Ini bukan masa cari silap salah, ini masa untuk kita tolong sesama sendiri, marilah kita sama-sama berganding bahu,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast