Keadaan kawasan yang kembali surut selepas dilanda banjir berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Agensi-agensi berkaitan pengurusan bencana banjir belajar daripada kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini termasuk di Taman Sri Muda.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Abu berkata, banyak aspek perlu ditambah baik pada masa akan datang khususnya penyelarasan tindakan pengurusan banjir, katanya.

Pak Abu

“Macam ada tak kena dalam pengurusan banjir kali ini. Tidak ada penyelarasan langsung.

”Tolonglah orang yang terlibat, sama ada peringkat pusat, negeri, jabatan kerajaan buatlah prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani banjir.

“Di Kelantan pun, pengurusan mereka lebih baik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Banjir di Taman Sri Muda menyebabkan banyak kediaman penduduk ditenggelamkan selama enam hari dan merekodkan kehilangan harta benda kepada mangsa banjir.

Seorang lagi penduduk Mohd Raha Faizal Mohd Rashid, 42,  yang menetap di Zon C, Taman Sri Muda menggangap apa yang menimpanya pengalaman pahit untuk dikenang.

Mohd Raha Faizal Mohd Rashid

Beliau yang menetap enam beranak di rumah tersebut berkata, harta benda yang dibeli dan dikumpul selama ini musnah sekelip mata.

“Saya kehilangan kata-kata melihat kemusnahan yang berlaku. Semua barang-barang tidak boleh digunakan termasuk dua buah kereta dan tiga buah motor.

“Sekarang ini saya tidak boleh fikir apa-apa lagi kecuali membersihkan semula rumah ini,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Pekerja swasta itu menambah, semasa kejadian Sabtu lalu, dia dan beberapa anaknya sahaja berada di rumah manakala isterinya bekerja.

Melihat air yang semakin naik, dia tidak betah menunggu lagi di rumah dan terus ke pusat penempatan sementara kerana bimbang akan terperangkap.

Mohd Raha menganggarkan kerugian harta benda yang dialami kira-kira RM15,000 tidak termasuk kenderaan-kenderaan yang rosak.

“Jumlah ini besar bagi saya sekeluarga,” tambahnya.

Meskipun begitu, Mohd Raha sentiasa bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

“Syukur sangat, walaupun kami ditimpa musibah yang tidak disangka-sangka, isteri, anak-anak semua selamat,” ujarnya.

Isterinya beliau, Jamaliah Tajuddin, 46, mengakui ‘terduduk’ sebaik sahaja melihat kediaman dua tingkat selepas pulang pagi semalam.

“Sedih tengok rumah kami. Banyak barang perlu dibuang kerana rosak dan dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Seperti Mohd Raha, isterinya juga berkata, buat masa ini mereka mahu memastikan kediaman itu dibersihkan dahulu, perkara-perkara lain difikirkan kemudian.

Taman Sri Muda, Shah Alam adalah antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Selangor, selain daripada Hulu Langat dan Meru, Klang.- MalaysiaGazette