AHLI Magnet Team bersama mengasingkan pakaian sumbangan untuk diserahkan kepada penduduk di Hulu Langat.

KUALA LUMPUR – Merasai keperitan menjadi mangsa banjir, seramai 12 rakan karib wanita yang dikenali Magnet Team membantu golongan yang terjejas dengan bencana alam itu di Hulu Langat.

Jurucakap Magnet Team, Puan Sri Nisa Bakri berkata, inisiatif itu digerakkan hasil keprihatinan semua rakan karibnya.

Atas kesedaran itu, mereka bersepakat untuk bersama turun padang ke lokasi terjejas di Hulu Langat bagi menyampaikan bantuan berupa bungkusan makanan serta pes masakan Ready To Cook kepada mangsa-mangsa banjir.

SEBANYAK 300 bungkus Pes NisaBakri diedarkan kepada penduduk terjejas banjir di Hulu Langat, sebagai keperluan makanan mudah disediakan.

“Hasil keprihatinan kami Magnet Team telah pun turun ke lokasi untuk menyerahkan kira-kira 250 bungkus nasi kandar dan nasi ayam untuk warga penduduk yang terjejas di beberapa lokasi.

“Selain itu, hasil kerjasama NGO iaitu Pertubuhan Insyirah, JKKR Soeharto, KRF Komuniti dan juga Pertubuhan Kasih Neelofa juga sumbangkan 300 pes masakan segera NisaBakri yang mudah disedia dan sesuai keadaan mangsa di lokasi bencana.

“Alternatif ini satu pilihan hidangan ringkas serta cepat untuk mangsa banjir yang diketahui sukar sediakan keperluan makanan waktu ini,” katanya selepas Penyerahan Sumbangan Magnet Team Kepada Mangsa Banjir di Hulu Langat semalam.

Dalam pada itu, rakan senior Magnet Team, Datuk Zainab Kader, 75, isteri kepada mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Ibrahim Saad yang mengetuai misi bantuan kepada mangsa di beberapa lokasi termasuk Masjid Hulu Langat.

Selain beliau, beberapa penggerak misi bantuan antaranya bekas Pegawai Polis Wanita, Datuk Fatimah Abdul Hamid, Suzimah Hazish, Marina Kenistio dan Alex Navanith turut berperanan melancarkan lagi fasa agihan.

Mengulas lanjut, Nisa Bakri berkata, Magnet Team berjaya mengumpulkan pakaian terpakai untuk diagih  kepada mangsa yang tinggal sehelai sepinggang untuk kegunaan sementara semasa bencana dan meringankan beban yang ditanggung mereka.

“Semoga dengan bantuan ikhlas itu ia akan dapat memudahkan urusan mangsa banjir selain turut menjadi titik tolak dalam pelbagaikan lagi bentuk sumbangan diperlukan di masa depan.

“Selain itu kami turut lancarkan sumbangan dana dan bercadang hasil kutipannya akan digunakan untuk dapatkan portable gas memasak sebagai permulaan bagi mangsa banjir memasak selain dilengkapi pes makanan sedia dimasak,” ujarnya. – MalaysiaGazette