Mangsa, Norima Abdul Hamid berehat di ruang depan rumahnya yang hancur dilanda banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Seorang mangsa banjir meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa isu bencana itu di sini ibarat tiada penyelesaian sejak sedekad lalu.

Norima Abdul Hamid, 63, berkata, sepatutnya kerajaan Selangor mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang menangani masalah itu kerana Hulu Langat memang dikenali sebagai kawasan banjir.

Namun menurut beliau, alasan sama diberikan apabila terpaksa melepaskan air jika tidak mahu empangan pecah membuktikan pemimpin negeri itu gagal mencari mekanisme terbaik sebagai jalan penyelesaian.

“Kami tidak diberikan amaran bencana banjir ini terjadi. Kawasan ini kawasan banjir dan setiap kali air naik akan kata terpaksa lepaskan air. Kalau tidak lepas, air empangan akan pecah.

“Sudah lebih 10 tahun macam ini dan kita tidak adakah mekanisme seperti pakar atau saintis untuk atasi isu macam ini.

“Jadi syarikat air negeri gagal untuk untuk tangani isu air dan pembentungan kata ada tapi tiap kali hujan, air naik. Jadi ia tidak efektif dan kita ‘dinyanyikan’ takdir ini ujian, ini kifarah, dosa dan kami sahaja ke yang kena kifarah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Norima Abdul Hamid . Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

Norima yang mengalami kerugian kira-kira RM100,000 turut mempersoalkan peranan Jabatan Meteorologi mengenai taburan hujan pada musim tengkujuh dengan membuat mekanisme melepaskan air empangan secara berperingkat lebih awal.

Tegas beliau, alasan penduduk akan menjadi panik tidak boleh diterima berbanding berdepan bencana musibah yang merosakkan banyak harta benda.

“Sebab takut kita panik, jadi awak (kerajaan negeri) rela kami kena macam ini (banjir) daripada panik dan masa kejadian, awak yang panik.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab kerana kita pilih awak serta kita pembayar cukai untuk kerajaan jalan urus tadbir kami dengan baik,” katanya.

Norima turut mengharapkan kerajaan negeri memberi bantuan awal RM5,000 untuk semua mangsa banjir memulakan hidup baharu.

“Kita lantik untuk urus tadbir dan laksana pentadbiran baik serta kuranglah berpolitik. Sekurang-kuranhnya beri kami bantuan tunai RM5,000 kerana jumlah RM1,000 tidak memadai,” katanya. – MalaysiaGazette

Zakat LZS