Kementerian Kewangan

 

KUALA LUMPUR – Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) ditingkatkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

BWI sebanyak RM1,000 tersebut diberi bukan sahaja kepada KIR di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi juga diperluaskan kepada KIR yang tidak berpindah ke PPS.

Oleh itu, mangsa banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali semasa.

Selain itu, bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi menyegerakan BWI kepada mangsa banjir, pada 24 Disember 2021, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM26.9 juta kepada semua negeri yang terjejas.

Selaras dengan penambahbaikan BWI, Kementerian Kewangan (MoF) akan memastikan Nadma mendapat peruntukan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar.

Menurut beliau, peruntukan awal RM100 juta disediakan untuk usaha pemulihan pasca-banjir, termasuk pembersihan dan pembaikan kawasan perumahan dan infrastruktur awam dan bagi menyegerakan dan memudah cara pelaksanaan kerja pemulihan pasca banjir.

”MOF pada 21 Disember 2021 telah mengeluarkan garis panduan berhubung kelonggaran kaedah perolehan untuk kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir,” katanya dalam kenyataan di sini.

Penyediaan dana sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) MyRinggit-i BANJIR: BSN menawarkan mangsa banjir pembiayaan sehingga RM10,000 (berbanding RM5,000 pada minggu lepas) pada kadar 0% dengan moratorium bayaran balik selama 6 bulan dan selanjutnya bayaran balik dalam tempoh sehingga 3.5 tahun.

Tambahnya, peningkatan dana dari RM200 juta ke RM500 juta bagi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) oleh Bank Negara Malaysia dan kemudahan pinjaman ini akan disediakan melalui bank komersil untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi membiayai penggantian peralatan yang rosak akibat banjir serta modal kerja.

Pembiayaan sehingga RM500,000 akan disediakan untuk PKS manakala usahawan mikro boleh meminjam sehingga RM75,000.

Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan dan kadar pembiayaan adalah hingga 3.5% setahun termasuk kos jaminan.

Permohonan boleh dibuat melalui bank-bank komersil mulai 27 Disember 2021.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan MOF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu mangsa banjir secepat mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast