Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas kepalanya dipercayai ditimpa batu semasa menyertai konvoi motosikal di jalan menuju Bukit Fraser semalam.

Nor Eaffendi Mohamad Samsi, 51, dari Ulu Tiram, Johor mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Kama Azural Mohamed berkata, kejadian dilapor pada 9 pagi ketika lelaki itu dan isteri menyertai konvoi bermotosikal seramai 30 orang dari Johor ke Jerantut, Pahang pada Jumaat, sebelum bergerak ke Wangsa Maju, Kuala Lumpur melalui Bukit Fraser.

“Isteri mangsa yang membonceng motosikal itu mendakwa mendengar bunyi hentakan kuat di hadapannya diikuti mangsa jatuh menyebabkan motosikal mereka terbabas ke kanan jalan.

“Pemeriksaan awal polis mendapati mangsa mengalami pendarahan di muka dan terdapat kesan retak pada topi keledarnya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Isteri mangsa tidak cedera dalam kejadian itu.

Kama Azural berkata, bedah siasat mengesahkan kematian disebabkan pendarahan di otak dengan tempurung kepala retak. – Bernama