umrah Penang Omicron cases
Para jemaah berlepas ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. - Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merekodkan dua kes jangkitan varian Omicron membabitkan dua individu yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Exco Agro-tech dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, dua individu itu disahkan positif Covid-19 varian Omicron pada 16 dan 17 Disember lalu.

Norlela.

“Kedua-dua mereka berstatus kategori satu iaitu tidak bergejala dan kini ditempatkan di hospital untuk pemantauan.

“Orang ramai dinasihatkan menangguh dahulu daripada menziarahi saudara-mara dan kenalan yang baru pulang dari negara berkenaan selari dengan gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Pengembara dari Arab Saudi wajib pakai peranti digital mulai minggu depan

Khairy Jamaluddin sebelum ini menegaskan, mulai minggu depan semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi akan diwajibkan memakai peranti digital bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard kuarantin di rumah.

Ia susulan 49 kes Omicron dikesan dan 30 daripadanya membabitkan mereka yang pulang mengerjakan umrah.

Kata beliau, kebanyakan individu terbabit yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, didapati tidak mematuhi arahan itu.

Malah mereka menerima tetamu ketika dalam tempoh kuarantin. – MalaysiaGazette