Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media khas mengenai situasi terkini banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 27 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah dimaklumkan mengenai pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) menjadi penyebab utama berlakunya bencana banjir besar di Hulu Langat, sejak 18 Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebaliknya berkata, beliau sendiri akan merujuk perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mendedahkan perkara itu kepada umum.

“Saya tidak dimaklumkan hal berkenaan (EKVE), itu mungkin pandangan telah diterima, saya akan rujuk kepada Perdana Menteri sebab beliau menyebut perkataan itu.

“Saya tak tahu pasal butiran tentang lebuh raya (EKVE) tetapi lumpur dan sebagainya perlu dirujuk daripada pakar apa yang berlaku,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mendedahkan faktor utama banjir besar di sekitar Hulu Langat khususnya Taman Sri Nanding berpunca daripada pembinaan Lebuhraya EKVE.

Perdana Menteri berkata, pemantauannya di kawasan perumahan itu mendapati projek pembinaan EKVE menyebabkan longkang tertutup, sekali gus mengganggu sistem saliran di kawasan itu.

Ia menyebabkan air Sungai Langat yang terletak betul-betul di belakang Taman Sri Nanding melimpah ke kawasan perumahan berkenaan hingga banjir meningkat setinggi tingkat pertama rumah di situ.

Zakat LZSDalam pada itu, Amirudin hanya mengesahkan bencana itu semakin teruk disebabkan oleh kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan di sekitar Hulu Langat yang datang dari Simpang Perebas sampai Kuala Klawang.

“Kita ada 30 point tanah-tanah runtuh, ini bermakna takungan air besar dari kawasan pergunungan itu telah turun dan menjadi kepala air, dan turut menyeret beberapa longgokan kayu kayan untuk sampai ke Batu 14, kawasan Sungai Lui dan kawasan persekitarannya,” katanya.

Menurutnya, hasil pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Zaini Ujang semalam mendapati kadar turun hujan di Raub pada 18 Disember 2021 mencecah 800 mm.

“Banjaran Titiwangsa menjadi penghadang dan selebihnya telah sampai ke Selangor, sebab itu kita catatkan 300 hingga 400mm.

“Jadi takungan air di kawasan tersebut telah mengalir ke kawasan Hulu Langat dan menyebabkan banjir luar biasa dan sebahagiannya mengalir ke kawasan Kuala Langat dan turut melebatkan jumlah hujan yang besar di Klang dengan mencatatkan lebih 400 mm,” katanya.

Katanya, beliau mengesahkan hanya Kampung Asahan di Kuala Selangor sahaja yang mengalami banjir besar disebabkan oleh pembinaan sebuah lebuh raya.

“Saya sendiri datang, di sana kita dapati ada pilon tiang untuk membina satu lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan dan disebabkan itu memang air melimpah di kampung itu.

“Sejak semalam dan hari ini kita berjaya mengeluarkan jumlah yang banyak air, paling kurang esok insya-Allah hari ini kita akan melihat penyusutan yang signifikan di kawasan Kuala Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast