Pelet plastik yang ditemui CAP di pesisiran pantai Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan digesa menggubal undang-undang merangkumi pengeluaran, penggunaan, kitar semula serta pelupusan plastik.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, bahan kimia toksik yang berfungsi sebagai penambah (aditif) dalam plastik didapati boleh mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar.

Jelas beliau, ia terbukti selepas kajian pihaknya daripada pelet plastik yang dipungut di pantai negeri in mendapati kepekatan PCB antara 7.8-34.7 ng/g (nano gram per gram).

PCB tersenarai sebagai Persistent Organic Pollutants atau POPs di bawah Konvensyen Stockholm.

“Beberapa kesan terhadap kesihatan yang dikaitkan dengan bahan kimia ini termasuklah yang menyebabkan kanser atau mengubah aktiviti hormon (dikenali sebagai pengganggu hormon) yang boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk menjejaskan sistem pembiakan, pembesaran, dan gangguan kognitif.

“Memandangkan senario ini, CAP menggesa pihak berkuasa untuk memberi tumpuan secara menyeluruh berkaitan plastik bukan sekadar kempen menentang penggunaan beg plastik.

“Kerajaan perlu menggubal undang-undang merangkumi pengeluaran, penggunaan, kitar semula dan pelupusan plastik. Selain itu, haramkan penggunaan bahan kimia toksik dalam plastik serta perdagangan sisa plastik,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen, pihak berkuasa negara harus mengambil iktibar dari hasil kajian tersebut memandangkan sebuah kapal kontainer X-Press Pearl yang membawa palet plastik terbakar dan karam di pesisiran pantai Sri Lanka.

Katanya, Laporan PBB mendakwa ia sebagai tumpahan plastik terbesar dalam sejarah, malah tumpahan itu akan tersebar dari pesisiran pantai Malaysia hingga ke Somalia.

 “Pelet plastik yang digunakan untuk menghasilkan produk plastik apabila tertumpah ke laut mempunyai kesan yang besar ke atas alam sekitar.

“Namun begitu, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) masih belum memperakuinya sebagai bahan berbahaya di bawah kod barangan berbahaya bagi pengendalian dan penyimpanan yang selamat,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette