Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang akan bermula pada 1 Januari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, My50 menggantikan pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA pada bulan Jun 2020.

“Pengenalan pas perjalanan My50 ini adalah bukti kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

“Dengan pengenalan pas perjalanan My50 ini dan dengan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Kementerian Pengangkutan dan Prasarana yakin tahun 2022 akan menyaksikan peningkatan jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana.

“Secara keseluruhan untuk tahun 2021, berdasarkan data sehingga 24 Disember 2021, purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan oleh Prasarana adalah 462,246 penumpang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, My50 terbuka eksklusif untuk warga negara Malaysia, pas perjalanan My50 menawarkan perjalanan tanpa had kepada warga negara Malaysia.

“Semua boleh menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana – LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT dengan hanya membayar RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari berturut-turut.

“Kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

“Untuk Pulau Pinang, pas perjalanan akan dipanggil Pas Mutiara My50 dan boleh digunakan untuk bas henti-henti perkhidmatan Rapid Penang,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Ka Siong, buat masa ini kemudahan pas perjalanan itu belum dipanjangkan untuk Rapid Kuantan, yang merupakan satu lagi rangkaian perkhidmatan bas henti-henti kendalian Prasarana.

“Bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan ini, kerajaan memperuntukkan RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung oleh Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia ini.

“Ia adalah pelaburan yang besar, tetapi amat penting kerana peranan yang dimainkan oleh sektor pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau berkata, selain menjadi alat penyatuan bangsa dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia, perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien juga akan menggalakkan perkembangan aktiviti komersial dan menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Menjadi harapan ikhlas saya agar rakyat terus menyokong perkhidmatan pengangkutan awam; dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pas perjalanan tanpa had My50 ini untuk menyemarakkan semula ekonomi negara dan semangat penyatuan Keluarga Malaysia.

“Walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Disember ini, mereka yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara pada hari berkenaan boleh terus menikmati kemudahan itu sehingga 30 Januari 2022 sebelum terpaksa beralih kepada pas My50,” tambah beliau lagi. -MalaysiaGazette