Foto: Facebook Balai Bomba Sentul

KUALA LUMPUR – Kesemua penduduk di empat blok yang terjejas di Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di sini, dinasihatkan untuk berpindah keluar atas faktor keselamatan.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) turut meminta unit-unit penduduk yang terkesan untuk mengosongkannya sebagai  tindakan awal bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

Menurutnya, pihak pemaju telah melantik perunding bagi menganalisa keselamatan bangunan dan cerun di kawasan pemaju.

“Sehubungan itu, perunding yang dilantik bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) telah melakukan lawatan tapak di kawasan tersebut.

“Satu maklum balas kestabilan tanah daripada JKR, perunding dan IKRAM telah dikeluarkan dan mendapati struktur bangunan tersebut bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

“Ini kerana terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan. Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack di beberapa permukaan tanah dan keretakan di bawah lantai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, menurut kenyataan itu, tanda-tanda tersebut menunjukan keadaan di kawasan berkenaan adalah tidak selamat dan akan memberikan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 dan penghuni yang berada di tanah milk Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

Jelasnya, kondominium berkenaan mempunyai 14 blok dengan setiap blok mengandungi antara tiga hingga enam tingkat kediaman.

Empat blok yang terkesan melibatkan 34 unit kediaman adalah Blok 60/62, 64/66, 94/96 dan 98/100, katanya.

“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera. lanya akan disemak oleh DBKL dan IKRAM.

“Pihak IKRAM juga kini sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette