Razarudin Husain memulakan tugas hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Razarudin Husain secara rasmi hari ini memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara pada 25 Disember lalu.

Razarudin sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sejak 9 September 2020.

Pelantikannya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Terdahulu, beliau  tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada pukul 7.30 pagi tadi,  diiringi Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Ruslan Khalid dan pegawai dari Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara.

Razarudin yang berasal dari Dengkil, Selangor, telah berkhidmat selama 36 tahun dalam PDRM sejak pada 27 Disember 1982.- MalaysiaGazette