Penerima sumbangan, Suzana Jeffery (kanan) bersama anaknya, Mohd Afiq Zaqwan Mohd Zairi ditemubual selepas Program Pengagihan Bakul Makanan dan Beg Sekolah Kasih MAIWP di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Meskipun sesi persekolahan secara fizikal telah bermula tahun ini dan diteruskan pada tahun depan, namun Suzana Jeffery nekad untuk tidak menghantar anaknya Zaqwan Mohd Zairi yang berusia 10 tahun itu ke sekolah.

Katanya, masalah jantung berlubang yang dihadapi anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu membuatkannya rasa tidak selamat menghantarnya ke sekolah.

Apatah lagi ujarnya, muncul varian Covid-19 baharu iaitu Omicron baru-baru ini.

Jelas Suzana, pengalaman dijangkiti virus itu yang turut melibatkan suami dan Zaqwan baru-baru ini menjadikannya semakin bimbang akan keselamatan anaknya itu.

“Tahun depan saya kena ambil surat daripada doktor pakar jantung yang merawatnya untuk dapatkan surat kebenaran tidak ke sekolah secara fizikal sebab saya nak bagi dia ke sekolah saya masih tidak berani.

“Bila ke sekolah saya rasa ada risiko untuk dia, memang ada penjarakan tapi kita tidak tahu kanak-kanak bermain,” kata wanita yang berusia 38 tahun itu kepada MalaysiaGazette.

Penerima sumbangan, Suzana Jeffery (kiri) bersama anaknya, Mohd Afiq Zaqwan Mohd Zairi ditemubual selepas Program Pengagihan Bakul Makanan dan Beg Sekolah Kasih MAIWP di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

Suzana berkata, ketika tiga beranak itu dijangkiti dijangkiti Covid-19, hanya beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh manakala suaminya dan Zaqwan dikuarantin di rumah.

Meskipun tidak membawa anaknya keluar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ujarnya, risiko penularan buat masa ini masih tinggi.

“Macam baru-baru ini dia langsung tidak keluar sepanjang PKP, yang bekerja hanya saya dan ayahnya. Dia pun terkena mungkin daripada saya atau ayahnya waktu bekerja mungkin.

“Dua anak yang dewasa tidak (dijangkiti Covid-19). Mereka sahaja. Sedangkan dia tidak bergaul dengan sesiapa dia boleh kena, inikan lagi sekolah,” ujarnya.

Memahami keinginan anaknya untuk menghadiri sesi persekolahan secara fizikal amat tinggi, Suzana dan suami tidak mempunyai pilihan sebaliknya terpaksa mengutamakan keselamatan anaknya.

“Tapi pada saya, dia belajar di rumah dan di sekolah memang sangat berbeza. Kalau di sekolah dia ada kawan belajar, ada semangat tapi di rumah dia banyak rehat tidak mahu belajar.

“Dia sendiri cakap tidak seronok belajar di rumah sebab tidak nampak cikgu berdepan, tiada rakan,” tambahnya.

Berbeza dengan Raihana Nur Izyan Mohd Hafizi yang berusia 8 tahun.

Anak perempuan kepada Puteri Nursharina Md Daud tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun depan.

“Di sekolah lagi seronok, ada kawan-kawan. Saya tahu kena pakai pelitup muka, selalu basuh tangan,” kata kanak-kanak berkenaan.

Penerima sumbangan, Puteri Nursharina Md Daud (tengah) bersama anaknya, Raihana Nur Izyan Mohd Hafizi (kanan) ditemubual selepas Program Pengagihan Bakul Makanan dan Beg Sekolah Kasih MAIWP di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

Mengulas lanjut Puteri Nursharina berkata, meskipun perasaan bimbang masih ada, beliau lebih mengutamakan pendidikan anaknya.

“Saya pun memang masih was-was sebenarnya tapi disebabkan pendidikannya penting jadi saya yakin pihak sekolah akan ada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan daripada sebelum ini dah buka kan.

“Supaya dia dapat rasa keseronokan di sekolah, kasihan anak-anak sekarang mereka tidak rasa saat-saat persekolahan,” katanya.

Begitu juga dengan Rozaidah Mohd Shahril, yang akan menghantar anaknya ke sekolah pada tahun depan sebagai pelajar Tahun 1.

Penerima sumbangan, Rozaidah Mohd Shahril (kiri) bersama anaknya, Auni Zulaikha ditemubual selepas Program Pengagihan Bakul Makanan dan Beg Sekolah Kasih MAIWP di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

Beliau yakin pengurusan sekolah akan melaksanakan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita pun sudah buat persediaan beri pendedahan berterusan dengan dia, setakat ini tidak ada masalah,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast