Lori yang membawa muatan simen dari Ipoh terbalik di Jalan Duta menyebabkan pemandu tersepit sebelum diselamatkan bomba dalam kejadian pagi tadi.- Gambar Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Sebuah lori membawa muatan simen dari Ipoh ke ibu negara terbalik di Jalan Duta di sini hari ini sehingga pemandunya tersepit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, mangsa berusia 27 tahun yang tersepit di tempat duduk lori berkenaan berjaya diselamatkan oleh bomba.

DalamĀ  kejadian kemalangan pukul 10.15 pagi itu, lori itu telah terbalik di Kilometer 0.4 di Jalan Duta menghala pusat bandar.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori itu telah hilang kawalan semasa menyusuri selekoh ke kiri di lorong ketiga dan menyebabkan kenderaannya terbalik ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pemandu berkenaan dan kelindannya hanya mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 43 ( 1 ) APJ 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette