Datuk Ahmad Yakob

PASIR MAS – Pas Negeri menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh pertemuan dengan UMNO Kelantan bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN).

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pertemuan itu antara lain akan turut membincangkan hala tuju serta masa depan kedua-dua parti tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pas Kelantan telah menetapkan tarikh 22 Jan tahun hadapan (untuk bertemu UMNO), tetapi UMNO Kelantan belum memberi jawapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 152 Ketua Isi Rumah (KIR) diĀ  sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai Pengerusi UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub telah mengutus surat kepada Pas Negeri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju MN di negeri ini, khususnya menjelang PRU15. – Bernama