KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta lebih agresif menyediakan back hoe dan lori ro ro untuk memastikan sampahh mangsa banjir dibersihkan segera.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki juga berpendapat pihak yang mahu membantu juga boleh menyewa jentera itu bagi membantu mangsa banjir.
Dana sumbangan dalam bentuk sewaan back hoe dan lori sampah kira-kira RM300-RM500 sehari, katanya.
“Sampah sarap yang bertimbun kini perlu segera dibersih dan dilupuskan bagi mengelakkan kemudaratan lain yang boleh terhasil seperti wabak penyakit daripada sampah sarap yang terlalu banyak terhimpun akibat banjir,” katanya dalam kenyataan dalam Facebooknya hari ini.
Tambah Asyraf Wajdi, semalam sahaja, pihaknya telah menyewa dua backhoe dan enam lori roro untuk membantu membersihkan sampah sarap sekitar Taman Sri Muda dan Kota Raja.
“Sama-sama kita membantu. Insya-Allah mempermudahkan urusan orang, Allah mempermudahkan urusan kita,” katanya.
Menurutnya, pihaknya terus komited bersama sukarelawan Pemuda UMNO dan Skuad Sabil meneruskan gerak kerja turun padang membantu pembersihan mangsa banjir.- MalaysiaGazette