Wee Ka Siong

JOHOR BAHRU – Keputusan penangguhan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Malaysia dan Singapura akan diputuskan dalam tempoh 48 jam sebelum tamat tarikh penangguhannya, iaitu pada 21 Januari depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, jika ia disambung jumlah jualan tiket akan dikurangkan sehingga 50 peratus daripada jumlah sedia ada.

Tambah beliau, keputusan itu tertakluk kepada kerajaan Singapura.

“Saya telah dimaklumkan kenapa Singapura bercadang menangguhkan ,bukan berhentikan. Mereka akan melihat dulu baik VTL darat mahupu udara, mereka perlukan sedikit masa.

“Pihaknya kemudian akan membuat penilaian sama ada ia akan disambung semula seperti mana dijadualkan pada 21 Januari atau ditangguh lagi, dan keputusan itu hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini, hari ini.

Pada 22 Disember lepas, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan penjualan tiket darat serta penerbangan VTL digantung sementara bermula 23 Disember hingga 20 Januari tahun depan, dan akan dibuka semula selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara.

Keputusan itu diambil susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron. – MalaysiaGazette