Penduduk cuba membetulkan peti sejuk yang telah dimasuki air selepas kawasan perumahan mereka dinaik air akibat banjir berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekitar Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Klang dijadikan kawasan angkat bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk misi bantuan pasca banjir.

Misi pasca banjir kementerian itu digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini terutamanya di kawasan Taman Sri Muda.

Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu, Datuk Dr. Noor Zari Hamat berkata, seramai 150 kakitangan agensi di bawah kementerian berkenaan termasuk pasukan sukarelawan dalam kalangan penggiat industri menyertai misi berkenaan.

“Pasukan sukarelawan yang menyertai misi tersebut telah membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir yang terjejas teruk akibat kesan lumpur yang tebal.

“Sebelum ini Kumpulan Misi Bantuan MOTAC telah beberapa kali ke kawasan ini untuk misi bantuan pasca banjir. Namun begitu, ini merupakan misi pertama MOTAC setelah kawasan ini dijadikan kawasan angkat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Zari, kementeriannya dengan bantuan Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Majlis Bandaraya Shah Alam sedang mengumpul maklumat berkenaan jumlah rumah dan keluarga yang terlibat di kawasan angkat ini yang masih memerlukan bantuan sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan bagi merancang misi pasca banjir seterusnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, MOTAC melalui jabatan dan agensi serta penggiat industri turut menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke lokasi-lokasi lain yang terjejas teruk di sekitar Selangor dan Pahang.

Menurutnya, setakat semalam sekurang-kurangnya 30 Misi Pasca Banjir telah dilaksanakan oleh MOTAC melibatkan lebih kurang 1000 sukarelawan. – MalaysiaGazette