Ketulan mampat ganja yang dirampas daripada seorang lelaki tempatan yang sedang menunggu pelanggan dalam kenderaan di hadapan pusat memberi belah di Jalan Ampang 28 Disember lalu.Ihsan IPD Wangsa Maju

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang aktif mengedar dadah di kawasan Lembah Klang dengan menggunakan kereta pada Selasa lalu

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesyaki lelaki tersebut aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak tahun lalu.

Tambah beliau, ketika ditahan pada jam 8.20 malam, suspek disyaki menunggu pelanggan di dalam kereta yang diletakkan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Ampang, di sini.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek itu, pihak polis telah menjumpai sebuah beg plastik hitam yang mengandungi tiga ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 2.928 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ashari, polis turut menjumpai 100 helai kepingan aluminium mengandungi 1,000 biji pil yang disyaki dadah jenis Erimin 5.

Ujarnya, kesemua rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM20,820.

“Suspek warga tempatan yang berumur 27 tahun itu telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan dadah diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mengunjungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette