Penduduk setempat meredah air banjir bagi mengambil barang keperluan di kediaman akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Seri Muda Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memberi pengecualian bayaran bil air bagi bulan Januari 2022 kepada para pelanggan akaun domestik (Kod Tarif 10) di Selangor yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Tamatelina Baseri berkata, pengecualian bayaran bil air itu merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor.

“Para pelanggan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik yang mana mereka tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

“Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, para pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang telah dinyatakan.

“Air Selangor memahami kesulitan yang dialami pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

“Pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Sementara itu, Air Selangor turut memanjangkan pengecualian bayaran bil air ini kepada para pelanggan dengan akaun somestik yang terkesan di Kuala Lumpur.

Kawasan yang terjejas akibat banjir di Wilayah Persekutuan adalah Kampung Pasir, kawasan Jalan Batu Bata dan Jalan Rahmat berhampiran WTC, kawasan Jalan Raja Chulan, kawasan Kampung Chubadak, Sentul, kawasan Kampung Delima, kawasan Kampung Kassipillay, kawasan Kampung Kolam Air, Sentul, kawasan Lorong Jambu Laut, Jinjang dan kawasan Lorong Raja Mahadi, Kampung Bharu. -MalaysiaGazette