Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengadakan transformasi dalam sistem kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia seiring dengan transformasi Parlimen yang sedang dilaksanakan.

“Tahun 2021 juga menyaksikan cabaran ketidakstabilan politik yang sekaligus mengancam agenda pemulihan dan perpaduan negara keseluruhannya.

“Namun, melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani pada 13 September lalu, cabaran ini dapat ditangani atas semangat Keluarga Malaysia dan merentasi perbezaan politik.

“Melalui kestabilan ini. Alhamdulillah, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) diluluskan tanpa sebarang pindaan pada 7 Oktober, begitu juga dengan Bajet 2022 turut lulus dengan sokongan majoriti pada 13 Disember lalu.

“Saya amat gembira dan terharu apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan oleh kesemua ahli Parlimen yang hadir seramai 200 orang.

“Ini membuktikan semangat kesatuan dalam perbezaan. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap Ahli Parlimen yang menyokong,” katanya katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2022 malam ini.

Menurut Ismail Sabri, selaras dengan nilai kebersamaan yang terangkum di dalam konsep dan falsafah Keluarga Malaysia, beliau percaya ahli-ahli Parlimen akan turut menyokong beberapa Rang Undang-undang yang bakal dibentangkan.

Ia termasuk Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, Pindaan Perlembagaan serta lain-lain pindaan undang-undang dan Transformasi Parlimen.

“Semangat kebersamaan ini sudah pasti akan menambahkan lagi kestabilan politik di negara ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast