Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani . Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan rondaan serta pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut fasa sepanjang tempoh ambang Tahun Baharu 2022.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua Pesuruhjaya Polis Negeri, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah telah diarah untuk meningkatkan rondaan pemantauan terhadap lokasi-lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai berkumpul.

“Tujuan rondaan pemantauan adalah untuk memastikan SOP PPN mengikut fasa dipatuhi disamping mengelak orang ramai berkumpul bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar SOP tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan pematuhan SOP.

Ujarnya, kerjasama semua pihak dalam aspek tersebut adalah penting memandangkan pandemik Covid-19 masih merupakan ancaman kesihatan serius yang perlu dibendung. – MalaysiaGazette