Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berbangga dengan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan masyarakat sebagai keutamaan dan terus menabur khidmat kepada negara dalam apa jua keadaan.

Menurut beliau, tahun 2021 melabuhkan tirai dengan membawa bersama episod duka seluruh penduduk dunia yang terkesan akibat penularan wabak maut Covid-19 yang masih belum berkesudahan.

“Kehidupan Keluarga Malaysia dalam norma baharu benar-benar menguji kewibawaan PDRM yang diberikan mandat sebagai agensi penguat kuasa utama untuk mendisiplinkan masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan.

“Walaupun terdedah kepada risiko jangkitan, namun warga PDRM kekal tabah dan komited dalam menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun, belum pun menghela nafas lega, negara diuji dengan bencana banjir luar biasa yang melanda beberapa buah negeri.

“Kita sedar bahawa penularan wabak Covid-19 dan krisis bencana alam ini adalah sesuatu yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan, pun begitu, saya berbangga dengan warga pasukan yang meletakkan kepentingan keselamatan masyarakat sebagai keutamaan dan terus menabur khidmat kepada negara dalam apa jua keadaan, selari dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya dalam kenyataan Perutusan Tahun Baharu 2022 Ketua Polis Negara hari ini.

Dalam pada itu, Acryl Sani turut menitip ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh petugas PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri demi kesejahteraan masyarakat.

“Sama-samalah kita memanjatkan doa moga dijauhkan daripada sebarang mara bahaya dan diletakkan di bawah payung lindungan-Nya setiap masa. Semoga segala pengorbanan kita selama ini mendapat ganjaran tertinggi daripada Allah SWT jua. Insya-Allah,” ujarnya.

Beliau juga berharap tahun baharu 2022 dapat memberi sinar kepada seluruh dunia agar kehidupan normal dapat dijalani seperti sedia kala.

“Mengambil iktibar daripada cabaran, dugaan dan pencapaian sepanjang tahun 2021, marilah kita sama-sama melangkah masuk ke tahun 2022 dengan semangat kental penuh iltizam agar kita dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti kepada masyarakat serta negara,” katanya. – MalaysiaGazette